Salam. Terjengah sekejap paper pagi ni. Takde ape yang menarik. Tetiba, aku baca Harakah pasal pilihanraya kampus. Apa jadi dengan senario politik negara kita, sehingga di momokkan ke pelbagai perkara di dalam kampus termasuk pilihanraya!

Harakahdaily
Tue | Jan 20, 09 | 7:33:09 am MYT

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Hrkh) – Kumpulan Pro-Mahasiswa menang dengan majoriti mudah satu kerusi menewaskan kumpulan Aspirasi dalam pilihan raya kampus Universiti Malaya, yang diumumkan jam empat pagi tadi, apabila menguasai 21 kerusi daripada 41 kerusi yang dipertandingkan.

Daripada sembilan kerusi umum yang ditawarkan, kumpulan Pro-Mahasiswa menang lapan kerusi. Di peringkat fakulti mereka menang 13 kerusi, iaitu Akademi Pengajian Islam (2 kerusi), Akademi Pengajian Melayu (2), Undang-Undang (2), dan masing-masing satu di fakulti-fakulti Perubatan, Pendidikan, Sains, Linguistik, Perniagaan dan Pergigian

Pertandingan sengit itu menyaksikan pelbagai insiden menarik sepanjang kempen termasuk beberapa isu kontroversi yang menggemparkan.

Laporan lanjut menyusul. _

Tunggang-langgang pilihan raya kampus 2009

Mohd Dzul Khairi Mohd Noor
Mon | Jan 19, 09 | 8:27:20 pm MYT
Tsunami politik negara yang berombak di seluruh negara masih lagi terasa bahangnya bilamana pilihan raya Kecil Kuala Terengganu yang berlangsung baru-baru ini turut menatijahkan keputusan yang mempositifkan lagi sokongan terhadap Pakatan Rakyat. Politik nasional sedang mengalami satu transformasi secara drastik tanpa disedari.

Sehangat perjalanan kempen yang berlangsung di Terengganu, “anak-anak pilihan raya nasional” yang dipacakkan gelaran pilihan raya kampus turut berlangsung dengan penuh kejutan dan emosi dan mendebarkan.

Beberapa buah kampus sudah menuju jalan ke arah membentuk kerajaan yang sah sesudah keputusan diumumkan. Kini hanya tinggal dua buah kampus utama iaitu Universiti Malaya dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sedang menanti dengan seribu satu persoalan.

Baru-baru ini, universiti tertua di Malaysia, Universiti Malaya telah dikejutkan dengan pembudayaan rasuah semakin bermaharajalela di dalam pilihan raya kampus.

Pembelian calon bertanding dan ugut-mengugut calon turut berlangsung dengan begitu rancaknya. Malah, lebih memeranjatkan lagi, perjalanan kempen pilihan raya kampus turut dicemari dengan polemik kepala babi di dalam surau Fakulti Pengajian Islam.

Provokasi murahan ini adalah satu tindakan yang tidak bertamadun sama sekali serta mencemarkan imej keintelektualan suasana kemahasiswaan di sana.

Campur tangan pihak polis yang tidak profesional malah mendokong dakwaan yang bersifat berat sebelah semasa insiden menyelongkar rumah aktivis pro-Mahasiswa (rujukan Malaysiakini, bertarikh 15 Januari 2009) juga menggambarkan bahawa pilihan raya kampus di Malaysia masih lagi tidak menjunjung demokrasi yang adil dan semakin parah.

Beberapa universiti utama di Lembah Klang turut mengalami senario yang sama. Universiti Putra Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia misalnya dinafikan hak untuk berkempen secara adil.

Lebih memualkan lagi apabila enam calon pro-Mahasiswa UPM digantung percalonan atas alasan yang sangat remeh, iaitu tidak meletakkan gam untuk melekatkan gambar di borang pencalonan, sebaliknya menggunakan klip.

Pilihan raya kampus kali ini kelihatan semakin ketara memperbudak-budakkan mahasiswa. Amatlah malang, bagi sebuah negara yang bercita-cita besar menjunjung tinggi tamadun serta dalam perkiraan menjadi sebuah negara maju dengan projek meganya yang bersusun-susun, masih lagi berfikiran ortodoks menghalang perkembangan budaya berfikir di kalangan mahasiswa.

Mahasiswa seolah-olah terperangkap dalam zaman feudal atau zaman gelap Eropah dalam kampus.

Justeru, Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia dengan dengan tegas, mendesak agar kerajaan berhenti daripada melakukan penindasan baik dari segi fizikal mahupun mental kepada mahasiswa.

Mahasiswa adalah aset negara paling mahal pada masa akan datang dan sekiranya sekatan pemikiran serta tradisi kemahasiswaan mengorak idea baru untuk negara melalui praktis di pilihan raya kampus terus menerus dicabuli, maka tidak syak lagi, kerajaan sekarang sedang merangka kehancuran masa depan negara dengan melahirkan ramai kaki kipas serta pak turut.

Sekiranya pertahanan negara pada masa akan datang bertambah lemah gara-gara para belianya yang tidak berkualiti, maka kerajaan hari ini harus dipersalahkan kerana memporak-perandakan sistem pilihan raya kampus itu sendiri dengan mempotretkannya secara tidak adil dan menghalang budaya idealisme di kalangan mahasiswa.

GAMIS juga menyeru agar pihak lain turut memandang isu pilihan raya kampus ini sebagai perkara yang serius kerana ia adalah berkaitan hala tuju kepimpinan negara masa hadapan.

GAMIS turut berpandangan bahawa fenomena yang berlaku ini juga turut menguji ketelusan serta integriti sebenar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang baru diwujudkan dalam menangani kes rasuah yang dibangkitkan dengan lantangnya oleh Pro-Mahasiswa dalam pilihan raya kampus ini.

Semua ahli gerakan pro-Mahasiswa Nasional juga diseru agar bersatu hati dalam membantu kampus-kampus yang bermasalah demi kemaslahatan ummah.

GAMIS mengharapkan semua pihak mencelikkan mata memikirkan serta berusaha merubah masa depan generasi 20 tahun akan datang yang bakal tercorak melalui penjenamaan serta pendemokrasian semula yang lebih adil pilihanraya kampus.

Advertisements