Assalamualaikum WBT.

Alhamdulillah, setelah apa yang telah aku lalui, aku bersyukur pada hadratNya atas segala berkah, hikmah dan cabaran yang diberikan. Tidak semua manusia termasuk aku, mampu menerima secara mengejut segala ketentuan Allah sebagai hikmah, tetapi aku percaya ianya akan beransur-ansur serap ke dalam hati dan sanubari insan lemah yang diciptakan Tuhan ini.

Hidup seperti mana yang kita rancang menjadi idaman setiap insan, walhal kita sudah tahu, tidak semua perancangan yang kita lakukan akan berhasil. Hadangan demi hadangan akan terpaksa kita tempuh sebelum apa yang kita impikan itu menjadi, jika ia direstui Allah.

“Kalau kita nak, tak semestinya menjadi dan kalau kita tak nak sekalipun, tak semestinya tak jadi”

Kehendak Allah adalah sesuatu yang diluar jangkaan akal kita sebagai manusia, tetapi ianya boleh bertukar dengan kekuatan doa iaitu senjata orang Islam kecuali ajal dan maut. 2 perkara tersebut Allah telah nyatakan yang ianya tidak akan lewat mahupun cepat walaupun sesaat.

Jika kita amati dengan teliti, setiap kisah hidup ada jalan cerita dan sinopsis tersendiri. Antara sedar ataupun tidak, ianya terlalu banyak hikmah yang diberikan, cuma kita selalu leka. Leka dengan permainan hidup yang kita buat sendiri tanpa desakan dan paksaan.

Ya, kita seperti roda. Tetapi aku muak, kerana roda itu kadangkala tidak terlalu mudah untuk naik apabila ia di bawah, tetapi terlalu cepat turun apabila kita di atas. Adakah itu hukum dunia, ataupun itu hukuman untuk kita supaya cepat menjadi matang? Mungkin satu hari ia akan terjawab.

“Jangan kita kesali atas apa jua keputusan yang telah kita sendiri tentukan..” Aku cuba berpegang atas tiket manusia; kerana manusia ini tidak pernah lari dari kesilapan, tapi ia mampu untuk dibetulkan. Cuba mendidik hati dan iman supaya lebih bersyukur atas apa yang diberikan, meredhai pemberian dan melalui segala cabaran dengan hati terbuka dan sentiasa bersangka baik.

Aku masih meniti hari-hari suram; tapi aku tetap percaya Allah akan bagi hari-hari yang terang sekiranya redha atas setiap cabaran; cabaran yang manusia mampu untuk menanggungnya.

Terimalah sedikit buah tangan untuk semua; Doa Gundah Gulana : Sumber – http://antalhaq.blogspot.com

اللهم إني عَبْدُك، إبْنُ عَبْدِك، إبْنُ أمَتِك، فِي قَبْضَتِك ناصِيَتِي بِيَدِك، مَاضٍ فِيَّ حُكْمِك، عَدْلٌ فِيَّ قَضَائِك

أسألك بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لك سَمَّيْتَ به نَفْسَك أَوْ أنْزَلْتَهُ في كِتَابِك، أوْ عَلَّمْتَهُ أحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوِاسْتَأْثَرْتَ به في عِلْمِ الغيبِ عِنْدَك

أَنْ تَجْعَلَ القرآنَ العظيمَ، نُورَ صَدْرِي، ورَبِيْعَ قَلْبِي، وجَلاَءَ حُزْنِي، وذَهَابَ هَمِّي وغَمِّي

 

Salam sejahtera dariku untuk semua. Semoga kita berjumpa lagi.

Salam.

Advertisements