12.04 malam jari aku menari di atas keyboard ini lagi. Lepas hampir sekian lama aku tidak buat sebarang posting, akhirnya aku rasa aku kena menaip semula.

Ramadhan, Ramadhan, Ramadhan..

Alhamdulillah, akhirnya aku masih lagi hidup di atas muka bumi Allah pada bulan Ramadhan ini. Allah masih memberikan kita peluang untuk kembali kepadaNya, memohon keampunan kepadanya, beribadat kepadanya, segala-galanya. Tapi perlu diingat, beribadah bukan untuk Ramadhan sahaja. Ibadah perlu berterusan. Cuma perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa. Aku tak bercadang untuk mengupas topic Ramadhan, kerana aku pasti ramai yang tahu fadhilat Ramadhan dan ‘senjata’ tersembunyi yang perlu kita rebut, Lailatulqadar.

Buat pertama kali aku berada di fenomena berbeza Ramadhan di perantauan. Mungkin aku ini seorang yang kolot, tidak pernah merasa environment Ramadhan di tempat orang. Ianya sesuatu yang menarik, berpuasa di kalangan majoriti yang bukan beragama Islam, tiada halangan, tiada sekatan. Manisnya puasa kali ini ialah kami berpuasa dengan umat Islam lain seluruh dunia, berbuka bersama di Musholla, solat dan doa bersama. Kalau boleh aku kira, itu antara perkara manis sepanjanga Ramadhan ini. Berbuka di Musholla itu agak ringkas, dengan kurma & still water, kami mengerjakan solat Maghrib berjemaah. Kemudian di hidangkan nasi atau apa juga makanan yang di hadiahkan oleh insan yang murah hati dan mengambil peluang untuk membuat amal jariah. Aku difahamkan oleh rakan, biasanya yang memberi sumbangan ini datangnya dari kalangan orang Arab yang kaya, dan ingin berkongsi rezeki dengan orang lain. Biasanya memang ada special portion telah disediakan apabila Ramadhan datang.

Satu lagi perkara yang indah ialah berpuasa selama hampir 19 jam. Ada sesetengah orang berkata ianya satu penyeksaan. Aku juga perna berfikir begitu sebelum Ramadhan. Tetapi bila masuk sahaja 1 Ramadhan, suasana itu berubah. Kita ada banyak masa dan ruang untuk bersendirian, banyak masa nak memohon kemaafan dari Tuhan, banyak masa nak baca Al-Quran, banyak masa untuk mengenal diri sendiri. Suasana ini aku tak pernah rasa sepanjang di Malaysia, kerana di sana kita selesa dengan persekitaran yang sedia ada. Mula berpuasa jam 2 pagi dan akan berbuka jam 9 lebih malam. Ianya sesuatu yang manis. Tak kurang juga dengan cabaran berpuasa di kalangan orang bukan Islam, antaranya puasa mata. Ini memang cabaran. Kalau mata tak di jaga dengan baik, maka banyak lah pahala akan dipotong. Kebetulan puasa diwaktu summer, kebanyakkan daripada mereka gemar memakai pakaian yang sekeping, tidak kira lelaki mahupun perempuan. Ada yang tidak segan silu menayang benda yang tidak sepatutnya, lebih lebih lagi wanita. Kadang-kadang rasa susah hati, sebab kita tengah berpuasa, segala perkara kena jaga. Tapi kita kena juga jaga supaya puasa itu mencapai objektifnya, menjaga segala perkara, tidak hanya makan dan minum, termasuk perbuatan, perkataan mahupun nafsu.

Ramadhan ini ialah antara Ramadhan paling indah di dalam hidup aku. Manisnya susah nak diungkap. Sememangnya kita ialah hamba yang perlu terus mencari RedhaNya dalam apa juga keadaan sekalipun, dan aku rasa gembira kerana ada banyak masa sebegitu. Jadual aku seperti biasa akan ke pejabat setelah celik dari mati seketika, dan akan pulang ke rumah dalam jam 7.00petang ataupun akan terus ke Musholla lebih kurang jam 8.30 petang. Doaku untuk Ramadhan, agar aku diberi segala ruang untuk menghayatinya, untuk menyedut segala manisnya, untuk terus kekal Redha kepadaNya, atas segala urusan.

Ada kesunyian yang aku cuba simpan, cuba aku pendam tetapi selalunya ia akan muncul di kala waktu petang. Rakan-rakan akan sibuk balik jam 5,6 petang di kala sang isteri di rumah sudah mula memasak juadah berbuka, sedangkan aku masih lagi di pejabat, menyelesaikan kerja. Jiwa selalu terusik, bila berbuka puasa seorang diri, solat seorang diri, tadarus seorang diri. Di sini tidak ramai yang bujang, especially lelaki. Masing-masing duduk berasingan, masing-masing punyai kerja yang berbeza, masa yang berbeza. Jadi susah nak gathering sekali untuk berbuka. Kadang-kadang nak masak pun aku termanggu seorang diri dalam bilik, masak seorang diri, makan pun seorang diri. Sampai bila aku nak macam ni. Memang aku perlukan seorang teman yang dapat bersama. Hati mana tak terganggu bila tengok orang lain bahagia. Tapi aku sedar, jodoh tu Allah yang bagi, tapi kita kena berusaha. Ramadhan ini ialah platform yang akan gunakan sepenuhnya untuk berdoa pasal kehidupan aku, keluarga, serta pengajian. Aku akan terus berdoa agar Allah aku kurniakan aku seorang teman hidup, teman di kala susah dan senang.

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

“Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa”

Jam 1 pagi, perlu bersiap untuk sahur. Ya Allah, andai ini Ramadhan terakhir untuk ku, engkau kurniakanlah aku kebahagiaan di dalamnya untuk aku menerima manisnya agama Mu, agar aku dapat kekal berada di dalam agama Mu, agar aku dikurniakan apa yang Engkau janjikan kepada semua hamba Mu. Andai ini Ramadhan terakhir untuk ku, makbulkanlah doaku sekiranya hayatku hanya sehingga kini, engkau tariklah nyawaku ketika aku sedang menyembahMu, ketika aku dalam keadaan suci, ketika aku berada di dalam keadaan berpuasa, ketika hari Jumaat dan janganlah Engkau tariknya dalam keadaan aku berada di dalam kemungkaran. Sesungguhnya aku berserah kepadaMu Al-Hadi yang memberi segala kasih dan sayang di dalam aku sedar mahupun tidak.

Advertisements